Warna Tema        
Saiz Tulisan -A A +A
 

Proses Mediasi untuk kes-kes yang didaftarkan di Mahkamah negeri Terengganu telah dilaksanakan sejak awal tahun 2011. Pada waktu itu, proses Mediasi telah dijalankan di Kamar Penolong Kanan Pendaftar. Kes-kes untuk Mediasi yang berjaya diselesaikan akan terus direkodkan penghakiman di hadapan Hakim/Majistret Mahkamah berkenaan pada hari yang sama sesi Mediasi dijalankan. Mediasi yang gagal untuk diselesaikan akan dikembalikan kepada jurubahasa Mahkamah berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Pada suku akhir tahun 2016, satu ruangan di Tingkat 7 Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu telah diubahsuai dan dijadikan sebagai Pusat Mediasi Kuala Terengganu. Bermula Disember 2016, Pusat Mediasi Kuala Terengganu telah beroperasi sepenuhnya. Kes-kes yang telah ditetapkan untuk Mediasi telah dijalankan di Pusat Mediasi Kuala Terengganu tersebut.

Pusat Mediasi Kuala Terengganu bukan hanya menerima pendaftaran kes-kes untuk Mediasi daripada Mahkamah Sivil sekitar Kuala Terengganu seperti Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen, dan Mahkamah Majistret sahaja tetapi turut menerima pendaftaran kes-kes Sivil daripada Mahkamah-Mahkamah daerah seperti Mahkamah Majistret Marang; Mahkamah Majistret Kuala Berang; Mahkamah Majistret Dungun; Mahkamah Sesyen dan Majistret Kemaman; Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu; dan juga Mahkamah Sesyen dan Majistret Besut.

Fasiliti yang disediakan di Pusat Mediasi Kuala Terengganu adalah sebuah bilik untuk sesi Mediasi, 2 buah bilik caucus, dan 2 ruangan menunggu untuk pihak-pihak yang terlibat dengan proses Mediasi. Dua orang kakitangan ditempatkan di Pusat Mediasi ini untuk memudahkan segala urusan Mediasi.

Sebarang pertanyaan dan rujukan untuk Pusat Mediasi Kuala Terengganu boleh diajukan di nombor telefon 09-6272480.